Mampukah Keadilan cari pengganti Ezam?
Oleh Fathi Aris Omar (mStar Online)
Mohamad Ezam Mohd Noor, bekas ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (Keadilan), mungkin sahaja dikritik sebagai seorang pemimpin yang “gagal” tetapi sepanjang sejarah perjuangan parti pembangkang ini, tiada sesiapa boleh menafikan ketokohannya.
Setidak-tidaknya sebagai seorang pemimpin muda pembangkang, khususnya era awal Keadilan (dulu dikenali Parti Keadilan Nasional) sejak 1999 sehingga beliau ditangkap bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2001.
Sepanjang gelombang demonstrasi, Ezam tidak ubah “the angry young man”, macam juga citra zaman muda penasihat parti Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum menyertai Umno pada 1982.
![]() |
Sekarang Ezam [foto, kiri] telah pergi, bukan sahaja daripada Angkatan Muda tetapi juga daripada barisan kepemimpinan parti. Sejak beberapa bulan lalu, bagaimanapun, jejak dan “campur tangan” Ezam dalam Keadilan serta gerakan muda parti itu masih lagi kuat terasa.
Malah, menurut sumber atasan parti, peletakan jawatan beberapa pemimpin baru-baru ini turut dikaitkan dengan permainan politik Ezam. Pemimpin muda yang pernah menggegarkan negara dengan dakwaan “enam kotak rahsia” kerajaan dulu, walau tidak pernah didedahkan, dikatakan masih berkempen untuk beberapa calon.

